Sabtu, 18 Jun 2022

SEMINAR PENGURUSAN KEPENGAKAPAN PEMIMPIN & PENOLONG PEMIMPIN PENGAKAP MUDA & REMAJA PPM DAERAH SEREMBAN TIMUR TAHUN 2022

Tarikh : 18 Jun 2022 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi - 10.45 pagi
Lokasi : Atas talian
Kehadiran : 30 orang Pemimpin & Penolong Pemimpin
No. Ruj : PPDS.600-3/1/3 (17) bertarikh 8 Jun 2022


Buat julung kalinya Unit Pengakap Muda & Remaja PPM Daerah Seremban Timur telah bergabung di dalam satu seminar bagi membantu Pemimpin & Penolong Pemimpin menguruskan hal ehwal ahli dan kumpulan mereka di peringkat sekolah.

Seminar telah dimulakan tepat jam 8.00 pagi dan telah diacarakan oleh Tuan Shahrulnizam Bin Mohd Yunos, Penolong Pesuruhjaya Daerah merangkap Setiausaha Unit Pengakap Muda. Beliau telah mengalu-alukan kehadiran semua hadirin dan seterusnya mempersilakan semua hadirin untuk memperbaharui Persetiaan Pengakap dengan diketuai oleh Tuan Abdul Aziz Bin Haji Abdul Wahab, Penolong Pesuruhjaya Daerah merangkap Ketua Unit Pengakap Remaja PPM Daerah Seremban Timur.


Seterusnya majlis mempersilakan Puan Zainab Binti Said, Penolong Pesuruhjaya Daerah merangkap Ketua Unit Pengakap Muda PPM Daerah Seremban Timur bagi memulakan penerangan berkaitan Unit Pengakap Muda.


Puan Zainab memulakan sesi dengan memperkenalkan diri beliau yang baru sahaja dilantik ke jawatan sekarang setelah 6 tahun melepaskan jawatan yang sama kerana lokasi sekolah beliau berkhidmat terletak di dalam daerah lain.


Seterusnya beliau telah menerangkan struktur organisasi yang terdapat di sekolah serta struktur ujian lencana2 yang terdapat di dalam skim latihan Pengakap Muda.

Dihujung penerangan beliau, sesi bertanya soalan telah dibuka dan rata-rata hadirin mahukan pembaharuan di dalam komunikasi di peringkat daerah dan kumpulan serta tambah nilai program-program untuk ahli-ahli Pengakap Muda.

Selepas itu, sekitar jam 9.05 pagi, giliran Tuan Abdul Aziz Bin Haji Abdul Wahab, Penolong Pesuruhjaya Daerah merangkap Ketua Unit Pengakap Remaja PPM Daerah Seremban Timur memberi penerangan.


Beliau memulakan bicara dengan memperkenalkan Visi, Misi & Objektif Unit Pengakap Remaja PPM Daerah Seremban Timur. Selepas itu, beliau telah memaklumkan takwim Unit Pengakap Remaja sepanjang tahun 2022 yang telah dikemaskini dengan memaklumkan program terdekat yang akan dilaksanakan adalah Ujian Lencana Jayadiri yang akan diadakan secara atas talian pada 25-27 Jun 2022.

Seterusnya beliau turut memaklumkan bahawa kertas kerja Ujian Lencana Ekspedisi telah siap sepenuhnya dan sedang dalam proses perbincangan bersama pihak negeri untuk diperhalusi dan penambahbaikkan. Beliau juga turut memaklumkan secara ringkas tentang Ujian Lencana Ekspedisi ini kepada semua.


Seterusnya beliau berkongsi tentang persediaan calon-calon untuk ke Pengakap Raja. Selain dari menunjukkan cara pembinaan buku log, beliau juga turut berkongsi Sijil Pengakap Raja dalam bentuk sebenar. Beliau juga maklum dengan berbagai kekangan yang dihadapi oleh para pemimpin dan telah memaklumkan  bahawa setelah perbincangan bersama Setiausaha Unit Pengakap Remaja iaitu Cik Paezah Binti Hamzah, Unit Pengakap Remaja PPM Daerah Seremban Timur telah mengambil ketetapan untuk menjadikan Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar sebagai "Akademi Pengakap Remaja PPM Daerah Seremban Timur".

Selain dari itu, lawatan ke sekolah-sekolah akan diteruskan seandainya menerima  jemputan dari pemimpin kumpulan dan juga sidang "Google Meet" tetap diadakan jika menghadapi kekangan lokasi.

Seterusnya beliau telah berkongsi tentang "Key Performance Indicator" yang antara lain akan merubah persepsi para pemimpin yang jika selama ini hanya malaksanakan aktiviti biasa-biasa semasa perjumpaan mingguan kepada aktiviti-aktiviti yang mampu meningkat kemenjadian ahli serta tambah-nilai sesuatu kumpulan.


Setelah selesai pembentangan, beliau telah membuka peluang kepada para pemimpin untuk bertanyakan soalan. Hasil dari pertanyaan-pertanyaan para pemimpin jelas menunjukkan mereka juga amat teruja dengan perkembangan positif yang dilaksanakan diperingkat daerah dan berharap ianya berterusan.


Sebelum bersurai pada jam 10.45 pagi, pengacara majlis, Tuan Shahrulnizam sekali lagi telah mengucapkan jutaan terima kasih pada hadirin kerana telah sudi meluangkan masa hampir 3 jam dalam merealisasikan program seminar pengurusan ini.

JAMBORI PENGAKAP SEDUNIA KOREA 2023 (Klik gambar di bawah untuk info)