Ahad, 17 Oktober 2021

JOTA JOTI 2021 BERAKHIR

Alhamdulillah .. selesai sudah JOTA JOTI 2021 yang telah berlangsung dari 15-17 Oktober 2021 yang nyata memberi sinar baru dalam kePengakapan semenjak PKP melanda.


Seawal hari Jumaat 15 Oktober 2021, para peserta telah mula melaksanakan tugasan bahagian A yang mengandungi 3 cabaran. Nyata para peserta amat teruja untuk menyelesaikan tugasan tersebut dan mempamer lencana digital yang diperolehi demi membakar semangat peserta lain.


Cabaran di bahagian A lebih tertumpu kepada tugasan di "Escape Room" di mana para peserta perlu menjawab tugasan yang diberi berpandukan petunjuk-petunjuk yang diberi. Lebih mencabar lagi apabila peserta tidak boleh meneruskan tugasan ke soalan seterusnya jika jawapan yang diberi tidak atau kurang tepat. 


Tugasan cabaran persahabatan pula memerlukan peserta mendapatkan JID (JotaJoti ID) dari 10 peserta dalam negara dan 2 peserta luar negara. Lokasi pilihan untuk mendapatkan JID tersebut adalah di halaman sembang ScoutLink. Berbagai ragam dapat dilihat apabila semua peserta cuba berbual dalam masa yang sama hinggakan butiran perbualan perserta tenggelam bersama kiriman-kiriman perbualan dari hampir lebih 200 orang peserta yang kebanyakannya berasal dari Malaysia dan Indonesia.


Menjelang hari kedua iaitu pada hari Sabru, 16 Oktober 2021, peserta mula menjawab tugasan bahagian B yang memerlukan peserta menonton video demi video berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan seterusnya menjawab soalan-soalan berkaitan.


Hari kedua juga menyaksikan sesetengah peserta mula menjalankan tugasan di bahagian C yang disediakan oleh World Scout Movement (WOSM). Keterujaan peserta bertambah apabila mereka didedahkan berbagai topik yang menjadi tunjang kepada pergerakan Pengakap sedunia.


Menjelang hari ketiga, para peserta masih teruja untuk melengkapkan lencana-lencana tugasan demi mendapatkan sijil dari WOSM. Keterujaan ini berpanjangan hinggalah waktu menghampiri jam 12.00 tengah malam menandakan JOTA JOTI 2021 telahpun berakhir.


Dari tinjauan rambang, peserta merasakan program pada tahun ini sangat mengembirakan apabila peserta yang telah selesai mengharungi cabaran menolong menerangkan tugasan yang telah mereka selesaikan agar para peserta lain lebih memahami soalan.


Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia (https://facebook.com/persekutuanpengakapmalaysia) yang telah berjaya memberi kelainan dalam cabaran #JotaJoti kali ini berbanding tahun lepas. Terima kasih juga diucapkan kepada sahabat Pengakap alam maya dari kumpulan telegram Persekutuan Pengakap Malaysia yang turut bersama-sama mengharungi tugasan Jota Joti 2021. Moga segala gelak ketawa, "stress" dan "saya stuck" menjadi kenangan manis kita bersama.






JAMBORI PENGAKAP SEDUNIA KOREA 2023 (Klik gambar di bawah untuk info)